Thursday 6 March 2014

Kisah dua keping roti



     Pada suatu waktu dahulu, ada seorang lelaki bangsa Israel yang amat kuat beribadat kepada Tuhan. Lelaki itu taat kepada semua perintah dan larangan Tuhan. Dia melakukan pelbagai ibadat selama enam puluh tahun di dalam biliknya tanpa keluar rumah.

     
     Pada suatu hari, hujan turun dengan lebatnya di bumi yang kering itu. Segala tanaman dan tumbuh-tumbuhan hidup subur. Lelaki itu terasa ingin keluar bersiar-siar menikmati keindahan alam. Selama ini dia hanya duduk beribadat di dalam bilik tidak keluar-keluar.

    
      “Alangkah baiknya kalau aku bersiar-siar di luar sana. Aku dapat mengingati kebesaran Tuhan sambil menikmati seluruh kecantikan alam,” bisiknya di hati.

     
     Lelaki itu pun keluar dari bilik ibadatnya hendak pergi berjalan-jalan dan bersiar-siar. Dia membawa dua keping roti sebagai bekal. Sebaik-baik dia berada di luar, dia begitu gembira dan takjub dengan keindahan alam ciptaan Tuhan.

     
     Sedang dia menghayati rahsia dan keindahan alam selepas disirami hujan lebat, dia terserempak dengan seorang perempuan jelita. Selepas bertegur sapa dan berkenalan, lelaki dan perempuan jelita itu bertambah mesra.

     
     Mereka berjalan beriringan sambil menikmati alam. Apabila lelaki dan perempuan yang tidak berkahwin duduk berdua-duaan, syaitan datang dan duduk di antara kedua-duanya. Begitulah kebiasaannya.

     
     Selepas mata bertemu mata, hati mula berkata-kata. Mereka mula jatuh bercinta. Akhirnya, mereka berzina. Sesudah itu, lelaki itu berasa amat bersalah disebabkan selama ini dia amat takut melanggar larangan Tuhan, sehingga dia jatuh pitam kerana jiwanya amat tertekan oleh rasa kesal yang tidak terhingga.

     
     Apabila tersedar, dia segera pergi ke sungai bagi membersihkan tubuhnya yang dirasakannya sangat kotor oleh dosa. Tiba-tiba, muncul seorang peminta sedekah yang kelaparan. Dia meminta makanan daripadanya. Lelaki itu berasa simpati lalu memberikan bekal yang dibawanya, iaitu dua keeping roti.

     
     Tidak lama selepas kejadia itu, lelaki itu jatuh sakit lalu mati. Maka malaikat menimbang pahala daripada segala perbuatan yang baik-baik selama 60 tahun dan dosa daripada perbuatannya berzina. Ternyata dosanya lebih berat daripada pahala ibadatnya selama 60 tahun.

     
     Oleh sebab dosanya lebih berat maka ditimbangkan pahala daripada sedekah dua keping roti yang pernah diberikan kepada pengemis lapar dahulu. Berat timbangannya berubah. Kini pahalanya lebih berat faripada dosanya. Lelaki itu pun terselamat daripada api neraka dan dimasukkan ke syurga. Itulah berkat pahala daripada bersedekah dua keping roti kepada orang yang sangat lapar.

                                             
                                        Sumber Cerita-cerita Motivasi Untuk Iman karya Ainol Khusyairi Radzi

No comments:

Post a Comment